The Universal House of Justice
Ridván 2024
To the Bahá’ís of the World
Dearly loved Friends,
Dua tahun dalam daya usaha sembilan-tahun yang mencabar telah berlalu dengan pantas. Rakan-rakan Tuhan telah menetapkan objektif-objektifnya dengan kukuh di dalam hati. Di sekitar dunia Bahá’í terdapat pendalaman pemahaman yang meningkat tentang apa yang diperlukan untuk melanjutkan lagi proses pembangunan komuniti dan memberi kesan kepada transformasi sosial yang mendalam. Tetapi dengan berlalunya setiap hari, kita juga melihat keadaan dunia yang semakin tambah terdesak, yang perpecahannya semakin teruk. Tekanan-tekanan yang memuncak dalam masyarakat dan antara negara telah mempengaruhi orang-orang dan tempat-tempat dalam pelbagai cara.
Ini menuntut daripada setiap jiwa yang teguh satu respons. Kita semua amatlah sedar bahawa komuniti Nama Teragung tidak boleh berharap untuk tak terjejas oleh keperitan masyarakat. Namun, meskipun ia terkesan oleh kesukaran-kesukaran ini, ia tidak dikelirukan olehnya; ia berasa sedih atas kesengsaraan umat manusia, tetapi tidak dilumpuhkan olehnya. Keprihatinan tulus harus menggerakkan usaha mampan untuk membina komuniti-komuniti yang menawarkan harapan sebagai ganti kepada putus asa, kesatuan sebagai ganti kepada konflik.
Shoghi Effendi telah menggambarkan dengan jelas bagaimana proses “kemerosotan progresif dalam hal ehwal manusia” sedang berlaku selari dengan satu lagi proses, iaitu proses integrasi, yang mana melaluinya “Bahtera keselamatan manusia”, “tempat perlindungan utama” masyarakat, akan didirikan. Kami berasa riang untuk melihat, di setiap negara dan rantau, pengamal sejati bagi keamanan sedang sibuk dalam membina tempat perlindungan ini. Kami melihatnya di dalam setiap kisah seorang kalbu yang diterangi dengan cinta kepada Tuhan, sebuah keluarga yang membuka rumahnya kepada rakan-rakan baharu, para kolaborator yang menggunakan ajaran-ajaran Bahá’u’lláh untuk menangani suatu masalah sosial, sebuah komuniti yang mengukuhkan budaya sokongan bersama, sebuah kejiranan atau perkampungan yang belajar untuk memulakan dan mengekalkan tindakan yang diperlukan bagi kemajuan rohani dan materialnya, sebuah lokaliti yang diberkati dengan kemunculan Majlis Rohani yang baharu.
Kaedah-kaedah dan peralatan Rancangan mengizinkan setiap jiwa untuk menyumbang sebahagian daripada apa yang diperlukan oleh umat manusia pada hari ini. Jauh daripada menawarkan salva sementara bagi penyakit-penyakit masa kini, pelaksanaan Rancangan adalah sarana yang mana proses-proses pembangunan, berjangka panjang, yang berkembang dari generasi ke generasi, sedang digerakkan dalam setiap masyarakat. Semua ini mengarah pada satu kesimpulan yang mustahak dan tidak dapat dielakkan: Perlu ada peningkatan yang mampan dan pesat dalam bilangan mereka yang memberikan masa mereka, tenaga mereka, tumpuan mereka kepada kejayaan kerja ini.
Di manakah lagi dunia dapat mencari satu visi yang cukup luas untuk menyatukan semua elemen-elemennya yang berbagai melainkan dalam prinsip Bahá’u’lláh bagi kesatuan umat manusia? Dengan cara apakah lagi melainkan dalam menterjemahkan visi itu kepada satu aturan yang berdasarkan kesatuan dalam kepelbagaian barulah dunia ini dapat sembuh daripada keretakan sosial yang memecah-belahkannya? Siapakah lagi dapat menjadi ragi yang melaluinya umat di dunia dapat menemui cara hidup yang baharu, jalan bagi kedamaian abadi? Hulurkan kepada setiap orang tangan persahabatan, tangan daya usaha bersama, tangan khidmat beriringan, tangan pembelajaran kolektif, dan majulah sebagai satu.
Kami sedar tentang betapa banyaknya semangat dan kekuatan yang akan dijanakan oleh belianya di sebarang masyarakat, iaitu belia yang telah disedarkan dengan visi Bahá’u’lláh dan sedang menjadi protagonis dalam Rancangan. Dan begitulah, belia Bahá’í mestilah berazam dengan kebaikan hati yang mendalam, keberanian, dan kebergantungan sepenuhnya pada Tuhan untuk berhubung dengan rakan sebaya mereka dan membimbing mereka kepada kerja ini! Semua orang haruslah melonjak, tetapi belia haruslah terbang tinggi.
Keterdesakan saat ini tidak harus menutupi keriangan istimewa yang datang daripada khidmat. Seruan untuk berkhidmat adalah panggilan yang memberangsangkan, yang maha mencakupi. Ia menarik setiap jiwa yang setia, malah jiwa yang telah dibebani tanggungjawab-tanggungjawab dan kewajipan-kewajipan. Kerana dalam segala cara yang menyibukkan jiwa yang setia itu boleh ditemui pengabdian yang berakar umbi dan keprihatinan seumur hidup bagi kebajikan orang lain. Sifat-sifat tersebut memberikan kesepaduan dalam satu hidup yang dipenuhi berbagai tuntutan. Dan saat-saat paling manis antara semuanya bagi sebarang kalbu yang diterangi adalah saat-saat yang dihabiskan dengan saudara mara rohani, dalam menjaga suatu masyarakat yang memerlukan makanan rohani.
Di dalam Makam-makam Suci, dengan kalbu-kalbu yang melimpah ruah, kami berterima kasih kepada Bahá’u’lláh kerana membangkitkan anda dan melatih anda dalam cara-cara-Nya, dan kami memohon Baginda untuk mengurniakan kepada anda berkat-Nya.
- The Universal House of Justice